LPPSA Pinjaman Perumahan Kerajaan. 5 Tips Mudah Supaya Lulus!

Pinjaman perumahan kerajaan lppsa

Dah lama sangat kami tak tulis tentang rumah, kali ini nak kongsi sedikit info mengenai LPPSA, iaitu pinjaman perumahan kerajaan untuk kakitangan awam.

Sesiapa yang kerja gomen, ada keistimewaan untuk memohon skim ini.

Asalkan kita memenuhi syarat pinjaman perumahan kerajaan yang ditetapkan, proses permohonan tidak susah mana pun.

Nak bina banglo idaman, tak kiralah beli siap atau pun dengan khidmat kontraktor, tak semestinya perlu ada duit tunai yang banyak.





Pinjaman Perumahan Kerajaan LPPSA, Apa yang kita perlu tahu?

Kakitangan awam mempunyai pilihan untuk menggunakan pembiayaan dari bank serta LPPSA (bagi kakitangan kerajaan) untuk membina rumah dia atas tanah sendiri.

Tanpa menggunakan wang tunai & membuat pinjaman peribadi.

Di bawah ini adalah perkara penting yang perlu diberi perhatian sebelum permohonan pinjaman dibuat.


Tonton video dibawah untuk mengetahui proses buat rumah atas tanah sendiri.






Pinjaman perumahan LPPSA dan juga home loan dengan pihak bank, apa yang perlu anda buat sebelum membuat pinjaman.

Terdapat beberapa persamaan dalam kaedah membuat pinjaman perumahan LPPSA & pinjaman perumahan dengan pihak bank.

Persamaan & perbezaannya adalah seperti berikut.









5 Perkara penting supaya kelayakan pinjaman perumahan LPPSA ada mudah lulus!

Kita mulakan dari perkara paling penting dahulu dalam mendirikan rumah.

Iaitu.

1. Status tapak tanah untuk mendirikan rumah

Boleh jadi kita telah mewarisi tanah dari ibu bapa kita, atau mungkin juga kita telah membeli sendiri tapak tanah sebagai tempat membina banglo.

Jika kita mahu membeli tapak rumah, pastikan status tanah didalam geran tersebut adalah dari jenis bangunan & bukan status pertanian. 

Tanah status pertaniaan memang lebih murah berbanding jenis bangunan.

Tapi, kesan jangka panjangnya sangat teruk.

Kita mungkin terpaksa melupakan niat untuk mendapatkan pembiayaan.








Ini kerana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak membenarkan pembinaan projek rumah banglo diatas tanah pertanian.

Bergantung kepada polisi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lokasi tapak rumah kita terletak, sesetengah PBT tidak membenarkan tanah berstatus pertanian untuk membina rumah. 

Dan ada pula PBT membenarkan dan memberi kelulusan binaan bagi 1 unit rumah diatas tanah berstatus pertanian.

PBT di negeri yang sama pun boleh berlainan. Apatah lagi di negeri berbeza. Di Selangor mungkin tak sama dengan di Melaka.

Tapi, masih ada caranya walaupun tanah kita berstatus pertanian.

Kita hanyaperlu menukar status tanah tersebut di pejabat tanah & ini akan memakan belanja yang besar juga.

Boleh semak sendiri dengan pejabat tanah untuk kos penukaran status.








Proses menukar status ini kebiasaannya mengambil masa lebih dari 3 bulan.

Dan kita perlu mengikut permintaan & syarat yang telah ditetapkan oleh pejabat tanah sebelum pertukaran status dibenarkan. 

Memang banyak memakan duit, tenaga & masa.

Sebab itu lebih mudah untuk kita membeli saja tanah berstatus bangunan dari awal.

Pembayaran premium menukar status tanah dari jenis pertanian ke bangunan adalah tinggi.


2. Geran tanah untuk tapak pembinaan rumah banglo

Macam mana nak tahu status tanah itu jenis pertanian atau bangunan? Boleh periksa di geran tanah.

Selain status, geran tanah akan memberikan banyak maklumat penting.

Maklumat yang dimaksudkan kami ialah tanah tersebut adalah 
  • Geran individu bagi penama yang ingin membuat pinjaman. Ini bermaksud hanya satu penama saja yang terdapat diatas geran tersebut.
  • 3 jenis geran tanah dibawah tidak boleh digunakan bagi membuat pinjaman.
    1. Kongsi - Mempunyai lebih dari 1 penama diatas geran tanah.
    2. Caveat - Tanah tersebut telah dimasukkan kaveat, bermakna tidak boleh jual, gadai atau menyewakan tanah tersebut atau apa juga urusan pindahmilik kepentingan sehinggalah kaveat tersebut dikeluarkan atau secara automatiknya tamat tempoh.
    3. Pemegang amanah - Bermaksud seseorang atau 1 pihak yang dilantik oleh tuan tanah ketika beliau masih hidup dan akan berkuatkuasa serta merta sebaik sahaja pelantikan pemegang amanah dibuat.
Sekarang dah jelas kan tentang jenis geran yang boleh & tak boleh mendapat pinjaman LPPSA.

Tips mendapatkan pinjaman LPPSA berkaitan geran tanah.

Selain perkara yang kami sebutkan diatas, terdapat beberapa perkara lagi yang boleh menyukarkan urusan pinjaman perumahan kita.

Dibawah ini kami berikan beberapa contoh keadaan.
  1. Bagi pasangan suami isteri yang berhasrat membuat pinjaman LPPSA, jangan masukkan nama pasangan di dalam geran sekiranya bukan penjawat awam.

    Kenapa?

    Ini kerana geran tanah yang mempunyai 2 penama dengan salah seorang bukan penjawat awam, tidak boleh membuat pinjaman LPPSA.

    Jika kita telah memasukkan nama pasangan, akan menyebabkan kita tidak menepati syarat kelayakan LPPSA.

    Hanya boleh buat pinjaman bank sahaja.

    Jadi, fikir masak masak tentang semua tindakan yang dilakukan di masa hadapan, kebiasaannya kita mahu letakkan nama bersama sama di dalam geran untuk mengelakkan perkara tak diingini berlaku dalam isu tuntutan harta kerana kematian atau penceraian.

    Banyak betul perkara nak kena fikir sebelum buat rumah kan?
  2. Andai tanah tapak rumah telah dibeli dengan menggunakan pinjaman LPPSA, kita tidak boleh membuat pinjaman bank bagi membina rumah.

    Ini kerana hanya satu pihak gadaian sahaja dibenarkan untuk rumah dan tanah.
  3. Jika kita membuat pinjaman pembelian tanah dengan bank Bank A, rumah kita juga perlu membuat pinjaman dengan Bank A.

    Kita tidak dibenarkan membuat pinjaman dengan Bank B.

    Andai kita tetap mahu menggunakan pinjaman di Bank B (mungkin kerana faedah yang ditawarkan jauh lebih menarik), kita mesti menukar gadaian tanah asal yang dibuat di Bank A ke Bank B terlebih dahulu.
  4. Proses penukaran pinjaman bank & memasukkan gadaian di pejabat tanah memakan masa yang lama.

    Elakkan penukaran pemilik gadaian seperti No 3 diatas sekiranya kita mahu rumah idaman siap dengan cepat & tidak membuang masa.

    Tambahan lagi, proses ini memerlukan kos yang besar & akan melibatkan servis peguam.

    Banyak bazir masa tenaga & wang ringgit.

    Semakin banyak masa terbazir, harga bahan binaan semakin mahal & banyak lagi perkara di luar kawalan akan berlaku.

3. Kelulusan pelan bangunan rumah banglo yang akan dibina.

Kalau kita mahu mebuat rumah idaman, tak boleh ikut cara orang kampung. Buat ikut suka tak ada pelan.

Ataupun pelan pun main reka reka sendiri saja.

Nak buat rumah dengan pinjaman perumahan kerajaan mahupun swasta mesti mendapat kelulusan pelan bangunan dari Pihak Berkuasa Tempatan. 

Ini cara untuk mendapat kelulusan dari PBT untuk pelan banglo

  1. Lantik seorang pelukis pelan / arkitek  bertauliah.
  2. Atau cari saja khidmat kontraktor yang mahir kerja kerja pembinaan rumah banglo dari awal sampai habis.

    Perkihdmatan ini lebih mudah dan cepat kerana mereja dah mahir selok belok kerja. Dari sebesar besar perkara. Sampai sekecil kecilnya.
Jelas sudah cara dapat kelulusan pelan kan. Apa pentingnya ada pelan yang menepati piawaian ni?

Jawapannya ada pada bahagian seterusnya.

Iaitu.


4. Keperluan Certificate of Completion and Compliance /Certificate of Fitness, Jaminan bangunan selamat didiami.

Rumah & bangunan yang dibina dengan amalan kejuruteraan yang baik akan menjamin kualiti.

Dan keselamatan diduduki.

Pihak yang akan mengeluarkan biaya pembinaan rumah mesti mahukan kepastian rumah ini tidak roboh atau musnah kerana kecacatan struktur binaan.

jadi, pelan banglo yang mendapat kelulusan PBT tadi akan membantu memperolehi CCC/CF untuk binaan rumah yang menggunakan pinjaman bank.

Pihak bank akan meminta salinan CCC/CF  dalam tuntutan bayaran terakhir.

Tapi.

Inilah perbezaan paling utama untuk pinjaman dengan bank & LPPSA.

Pinjaman LPPSA tidak mewajibkan CCC/CF.

Dengan syarat tambahan, rumah binaan yang tidak ada CCC / CF dikehendaki oleh pihak LPPSA untuk membayar wang tahanan selama setahun.

5. Perlantikan Peguam untuk perjanjian jual beli rumah.

Pemilik tanah harus mempunyau kontrak hitam putih perjanjian jual dan beli (sale & purchase agreement) antara 2 pihak terlibat.

Iaitu antara pemilik tanah dan kontraktor melalui peguam.

Pada tahun 2018, biasanya kerja kerja ini memakan belanja sebanyak RM3,000.

Tapi ada cara lain yang akan menjimatkan duit kita, tak perlu keluarkan RM3,000 untuk kontrak S&P ini.

Caranya ialah dengan mereka menerima S&P yang dikeluarkan kontraktor dan dimatikan setem di LHDN. Syaratnya, tak semua bank menerima kaedah ini.

Jadi buat kajian terlebih dahulu. RM3,000 banyak juga tu.

Ok.

Sekarang kita dah selesai tips tips mendapat kelulusan pinjaman LPPSA.

Jika kita sudah mencuba, dan masih tak lulus juga, boleh cuba pinjaman dari bank. 

Di bawah ini kami berikan tips supaya pinjaman perumahan bank kita lulus. 

Elakkan 7 sebab pinjaman perumahan kita di "REJECT" bank.

pinjaman pembiayaan perumahan bank

Jika kita nak elakkan berita permohonan pembiayaan perumahan kita di tolak bank.

Ini 8 perkara penting mesti di dielakkan sebelum kita membuat permohonan.

1. Rekod CCRIS yang tidak "UUMPH"

Jangan main main dengan rekod CCRIS, nak pergi haji & umrah pun boleh dihalang kalau tak kena gaya.

Tapi, apakah itu CCRIS?

CCRIS adalah singkatan kepada Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat.

Boleh jadi kita adalah peminjam PTPTN, pernah membeli kereta & lain lain.

Dan kita tidak mempunyai rekod bayaran yang tidak cantik. Ada tunggakan.

Ini akan menyebabkan skor CCRIS kita kelihatan lemah pada pihak bank dan menyebabkan permohonan kita ditolak.

Apa yang kita perlu jaga & direkodkan dalam CCRIS?

  • Outstanding Loan - Pinjaman semasa yang masib belum habis dilangsaikan.
  • Special Attention Accounts - Akaun yang diiktiraf sebagai Non-Performing Loan / akaun yang diuruskan oleh program pengurusan hutang dibawah seliaan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)
  • Application for Credit - Status permohonan pinjaman sebelum ini ( Tidak kira permohonan tersebut lulus atau gagal)

Rekod CCRIS kita disimpan selama 1 tahun.

Jika kita merancang nak buat pinjaman rumah dari bank, pastikan semua rekod bayaran diatas cantik selama ya.

Paling tidak selama 1 tahun / 12 bulan.



2. Nilai baki gaji di dalam akaun. Gali lubang korek lubang

Berapa ramai dari kita mempunyai kelemahan dalam pengurusan kewangan peribadi.

Duit gaji yang ada dimakan oleh komitmen kita setiap bulan.

Nak buat simpanan pun susah. 

Ini pun menjadi salah satu faktor untuk pinjaman kita diluluskan atau di tolak mentah & separuh masak.

Jika kita merancang nak buat rumah, belajarlah membuat simpanan & cari pendapatan tambahan.

Bisnes online pun ada kan.

3. Kisah pahit manis kita dengan kad kredit

Masih ingat lagi dengan rekod CCRIS? 

Ada dari kita mempunyai masalah perbelanjaan melebihi dari pendapatan. Dan ini berlaku setiap bulan.

Jalan mudah untuk selesaikan masalah, kad kredit kan ada.

Tapi, seperti yang kami pernah kongsikan sebelum ini, pinjaman kad kredit & kereta adalah penyebab utama ramai belia muflis.

Jadi hati hatilah dengan kad kredit.

Walaupun pihak bank suka mengeluarkan kad kredit, sehingga ramai betul promoter kad kredit di pusat membeli belah.

Tapi rekod penggunaan kad kredit kita ada dalam tangan mereka.

Bagaimana memastikan rekod kad kredit kita baik?

Seboleh bolehnya elakkan penggunaan kad kredit. Dapatkan kad kredit patuh syariah (bebas riba) dan jika terpaksa juga guna atas urusan kerja.

Pastikan kita bayar secepat mungkin. Jangan bayar nilai minimum.

Macam mana bank tahu kita tidak mempunyai kewangan yang baik?

Satu penanda yang baik adalah had kredit dalam kad kredit kita melebihi 70% yang diberikan oleh bank. 

Bank akan senarai pendek kita tidak mempunyai wang tunai & kurang mampu membayar kembali pembiayaan.


4. Kerjaya & Tempat kita bekerja stabil. "Steady je walau gawat"

Zaman harga minyak jatuh ni, kerja di sektor Oil & Gas pun bank dah tak pandang.

Kalau dulu, orang minyak lah buruan bank bank ini.

Nak beli rumah & kereta pun tak muda nak lulus, sebelum memohon pinjaman perumahan pastikan kita telah mendapat surat pengesahan jawatan.

Pendek kata, dah confirm.

Pekerja kontrak memang susah nak lulus sebab bank nampak risiko untuk diberhentikan kerja lebih tinggi.

Selain itu, jika syarikat kita bekerja mempunyai rekod pemotongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermasalah juga akan menjejaskan peluang kita.



5. Dokumen yang diserahkan tidak lengkap

Penting untuk kita menghantar dokumen lengkap& menepati kehendak untuk pinjaman diluluskan.

Dapatkan kepastian daripada bank tentang dokumen yang diperlukan.

6. Jenis hartanah yang dimohon pembiayaan bank

Membeli rumah merupakan pelaburan jangka panjang.

Dan mendedahkan kita dengan pelbagai risiko, perlu buat banyak kajian & memerlukan ilmu yang mendalam.

Bank juga sama seperti kita, sentiasa mahu melindungi kepentingan diri terlebih dahulu.

Semasa kita membuat keputusan membeli hartanah, wajib ambil peduli tentang status geran individu, nilai pasaran, status hak milik strata & sebagainya.

7. Berat mata memandang, berat lagi bau yang memikul

Boleh jadi gaji kita besar dan syarikat tempat kita bekerja stabil.

Dokumen semua dah lengkap sebab pengalaman buat pinjaman dah banyak.

Tapi, kalau komitmen kita tinggi permohonan kita boleh ditolak bank.

Macam mana nak tahu komitmen kita tinggi, 70 peratus daripada gaji kita diperlukan untuk membayar hutang (kereta, kad kredit, ptptn & sebagainya).

Sebab itu penting untuk kita mengurus kewangan.



Kesimpulan tentang pinjaman perumahan LPPSA & Bank

Semua orang teringin memiliki sendiri rumah untuk keluarga, tetapi berapa ramai dari kita membuat persediaan?

Semoga dengan membaca artikel ini, dapat membantu kita merancang 5 ke 10 tahun kehadapan.

Insyaallah.

Sebarang komen & pendapat boleh tinggalkan di ruangan komen di bawah ya.


Previous Post Next Post

Contact Form